12 September 2012


Langat 2 : 65 Syarikat Sertai Taklimat Tender, PAAB Harap Kemelut Selesai Segera

– Oleh IZRA ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR: Sebanyak 65 syarikat yang berminat dengan Projek Loji Rawatan Air Terawat
Langat 2 (Langat 2) telah menghadiri taklimat tender yang dikendalikan oleh Pengurusan Aset Air
Berhad (PAAB) pada Rabu.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata dengan bermulanya
proses penenderan secara terbuka, diharapkan kemelut tentang projek ini dapat diselesaikan secepat
mungkin.

Ahmad Faizal berkata, tender Langat 2 (Pakej 2A) dibuka setelah PAAB membuat kajian terperinci
mengenai bekalan air terawat yang mungkin tidak mencukupi menjelang 2016 di Selangor dan Kuala
Lumpur, dengan mendapat persetujuan kerajaan.

“Kita sebagai agensi pelaksana. Sekarang kerajaan kata buka tender dulu dan kita buka. Nak buka
tender pun makan masa.

“Kalau asyik tangguh tidak akan ada penghujungnya. Kita yakin Langat 2 adalah jalan terbaik untuk
selesaikan masalah air kerana ia lebih efisyen dan menjimatkan,” katanya pada sidang media selepas
sesi taklimat tender di ibu pejabat PAAB, dekat sini, Rabu.

Menyedari wujud kontroversi di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor mengenai
projek ini, beliau berharap segala kemelut dapat diselesaikan dalam masa 10 bulan akan datang.
Menurut Ahmad Faizal, isu utama dalam pelaksanaan projek yang menelan kos keseluruhan sebanyak
RM3.7 bilion ini ialah isu penstrukturan air di Selangor.

“Kerajaan negeri tak pernah kata tak perlu bina. Mereka kata selagi penstrukturan air tak ditamatkan
mereka tidak akan bagi kelulusan untuk Langat 2.

“Isunya adakah penstrukturan dapat diselesaikan dalam masa 10 bulan akan datang,” katanya.

View PDF
print